bismillah..
salams..
salams..
apa khabar semua??..smoga sehat2 aja..
ni 1st time copy paste...
sbb nk baca sgt cerpen ni..tp xde masa.. [ada kawan suggest cerpen ni utk dibaca]
kopipes dr blog SHOUTUL IKHWAH [xtau la btol ke x ni cerpen y dimaksudkn nya]
ade gk jumpe tajuk y sama di blog TATKALA PENA MENULIS.. tp mcm xspt y dimaksudkn je..
kopipes dr blog SHOUTUL IKHWAH [xtau la btol ke x ni cerpen y dimaksudkn nya]
ade gk jumpe tajuk y sama di blog TATKALA PENA MENULIS.. tp mcm xspt y dimaksudkn je..
tp tgk gaya macam ada nama IBRAHIM je..insyaALLAH terBAIK kot..hehe!~
enjoy reading!~
 --------------------------------------------------------------------------------------------
“Im!  Jom pergi Convo Square, kita makan tengah hari. Kau dah makan belum?”  Malik tiba-tiba muncul di muka pintu bilik Ibrahim tanpa sebarang  signal.
“Hisyh  kau ni. Kalau ye pun, bagilah salam dulu. Main sergah-sergah je. Nasib  baik aku takde sengguggut, kalau tak pengsan aku!” Ibrahim yang ketika  itu sedang membaca buku sambil berbaring di atas katil terus terduduk.
“Hahaha..senggugut  ape kejadahnye kau ni Im. Kau ni lelaki ke prempuan. Orang yang  terkejut-terkejut pastu pengsan ni setahu aku orang yang ade sakit  jantung je. Dahla tu, jomla pergi.”
“Alah,  penatlah. Malam nantilah aku turun. Tengah-tengah hari ni panas.  Berbaring di atas katil sambil menghabiskan buku Sean Covey : 7 Habits  of Highly Effective Teenagers ini jauh lebih bermakna daripada turun ke  tapak convo yang panas terik lagi tidak menarik itu..hahaha..” Ibrahim  tergelak sendirian. Dia menggunakan ayat baku yang dirasakannya  melucukan. Perasan sendiri.
“Alahai Im, yelah, aku paham..aku belanja kau, amacam?”
“Ha..kalau begitu beta setuju! Jap ye, beta pergi menukar persalinan.”
“Huisy,  pantang dengar makan free, laju je mamat nih. Cepat-cepat, aku tunggu  kau kat bawah. Weh, kau dah solat zohor lum? Eh, lupa, kau senggugut  kan? Takleh sembahyang. Haha..”
Mereka  berdua tertawa bersama. Persahabatan mereka memang erat. Lagi-lagi  mereka sudah ditarbiyah bersama. Cuma masih belum menggunakan kata ganti  diri 'ana-anta' seperti mana ikhwah-ikhwah lain yang telah ditarbiyah  kerana persahabatan sebelum ini sudah mengakar di dalam diri. Kekok  rasanya jika ingin menukar kata ganti diri pertama itu. Namun mereka  sering saling ingat mengingatkan antara satu sama lain agar sentiasa  terpelihara peribadi muslim sejati yang menjadi impian setiap insan yang  mengenal hakikat diri sebagai hamba kepada Allah.
*****
Suasana  Convo Square agak padat petang itu. Ahli keluarga serta saudara-mara  terdekat datang dengan hati yang berbunga-bunga untuk meraikan  graduan-graduan yang telah berjaya menamatkan kuliah di menara gading.  Teriknya panas matahari seperti tidak memberi kesan kepada para  pengunjung. Semua sibuk dengan hal masing-masing.
“Nak makan apa ni ye?” Malik bersuara.
“Makan Nasi Ayam jom. Aku sebenarnya apa-apa pun boleh, sebab ada orang nak belanja..”
“Yelah..jom-jom. Dah lapar betul nih. Nasi Ayam pun Nasi Ayamlah. Nanti kalau ada space lagi kita topup lagi..”
“Ceh,  makan tu beringatla...orang beriman berhenti sebelum kenyang, makan tu  bila lapar je. Bukan selagi leh sumbat, selagi tu tangan menyuap!”
“Ye ye...aku gurau je la. Jom.”
Nasi Ayam Kamal menjadi pilihan. Oleh kerana kelaparan, mereka makan tanpa bicara.
“Dahsyatla Nasi Ayam Kamal ni. Sedap hingga menjilat sudu!”
“Sudu apenye kau ni Im. Aku tengok kau makan guna tangan je, tiba-tiba jilat sudu la pulak.”
“Itulah tanda sedap. Sampai cari sudu nk jilat, sedap sangat. Kau mana paham peribahasa kaum istana ni..”
Malik  menjuihkan bibir. Ibrahim meniru mimik Malik. Malik tertawa. Ibrahim  memang lucu orangnya. Hanya  mereka yang rapat dengannya sahaja yang  tahu bagaimana peribadi dirinya. Mereka yang belum mengenalnya  seringkali mengatakan Ibrahim seorang yang tegas dan garang daripada  raut wajahnya. Terutamanya kaum wanita. Dalam mesyuarat kumpulan ataupun  persatuan, Ibrahim sentiasa fokus kepada topik perbincangan.
“DeeJay  Corner is on air again! Anybody who want to dedicate anything to anyone  can do so at the DeeJay Corner, just beside the main stage!” Tiba-tiba kedengaran suara daripada pembesar suara.
“Eh,  Im ade DeeJay Corner la. Jom wat ucapan untuk ikhwah-ikhwah kita nak?  Kita mintak dia pasang lagu ‘menerobos’ kegemaran kau tu.”
“Menerobos la pulak kau ni. Tajuk dia ‘Gelombang Keadilan’ la.”
“Tak kisahlah ape pun tajuk dia, tapi lagu tu la. Amacam?”
“Okay gak tu. Biar bergema seruan jihad sikit tapak convo nih.” Ibrahim melirik senyum.
Mereka  bergerak ke arah pentas utama. Menuju ke booth DeeJay Corner. Seorang  perempuan berada di kaunter. Wajahnya terlindung komputer riba. Tangan  kanannya yang memegang tetikus digerak-gerakkan. Mungkin sedang mencari  lagu yang dipinta oleh pelanggan. Seorang lelaki sedang mundar mandir di  belakang, mengangkat kotak. Ibrahim mengenalnya. Razif. Teman satu  kumpulannya ketika Minggu Orientasi dahulu.
“Assalamu’alaikum kak. Kami nak buat ucapan boleh?” Im bertanya.
“Wa’alaikumussalam...kenapalah  korang panggil akak-akak ni. Saya ni baru 2nd Year la. Hah, ambil  kertas ni, tulis ucapan dan penerima,” Sambil mukanya diangkat,  menghulurkan sekeping kertas sebesar tapak tangan kepada Ibrahim.
Pandangan Ibrahim dan wanita itu bertembung. Ibrahim terpaku. Tiba-tiba diam.
“Anis..” Tiba-tiba sebuah nama terpacul dari bibirnya. Separuh berbisik. Fikirannya melayang mengimbau peristiwa lalu.
--------
Ibrahim  memerhatikan novel-novel yang berada di atas rak. Mencari kalau-kalau  ada novel yang menarik. Matanya tertuju kepada sebuah buku berwarna  hitam. 
‘Mandatori. Ramlee Awang Mursyid. Mesti best ni. Aku beli la buku ni.’
Sambil  membelek-belek buku tersebut, Ibrahim berjalan menuju ke kaunter untuk  membayar. Apabila melintasi sebuah rak buku, tiba-tiba, dia dilanggar  dari tepi. Dia hanpir terjatuh. Nasib baik sempat berpaut pada rak buku  di sebelahnya.
‘Ni anak siapa main kejar-kejar dalam kedai buku ni..’ Rungutnya hatinya.
“Erk, maafkan saya. Saya nak cepat tadi, terlanggar awak. Awak tak apa-apa?”
Ibrahim memandang ke arah suara itu. Milik seorang perempuan.
“Eh, saya tak apa-apa. Salah saya juga, keluar dari celah rak tiba-tiba. Jalan sambil baca buku pulak tu.” 
Tiba-tiba mereka saling terpandang buku yang digenggam.
“Awak  pun minat Ramlee Awang Mursyid?” Mereka berkata serentak. Lalu terdiam.  Masing-masing mengukir senyum. Lalu mengangguk. Mereka menuju ke  kaunter bersama sambil bercerita tentang penulis kegemaran mereka.
“Tak sangka boleh jumpa orang perempuan yang minat novel thriller.” Ibrahim menyuarakan.
“Awak ingat lelaki je ke yang minat cerita-cerita macam ni? Perempuan pun minat la. Eh, awak sekolah lagi? Tingkatan berapa?”
“Form 4. Sains Seremban, SASER. Awak?”
“Eh,  berjiran rupanya kita. Saya Kolej Tunku Kurshiah, KTK. Nama glamournya  TKC. Kenalkan, Ameerah Hanisah. Orang panggil Anis je. Form 4 juga.”
“Aik,  kat seremban tak pernah bertemu, tiba-tiba kat MPH Time Square pulak  kita buat drama. Macam lagu dalam iklan petronas, Seorang di SASER,  Seorang di TKC, Dalam MPH, bikin drama.” Ibrahim meniru lagu iklan  petronas.
Anis tergelak kecil. Manis.
“Awak ni kelakarlah. Eh, nama awak?”
“Ops, lupa perkenalkan. Muhammad Ibrahim. Panggil je Im.”
Sekali lagi mereka saling tersenyum.
--------
“Im,  apasal kau tercegat je tu. Ambil la kertas tu tulis.” Malek menyiku  Ibrahim. Kehairanan melihat tingkah laku sahabatnya itu.
“Eh, takde apa. Aku tengah fikir nak bagi lagu apa tadi.” Ibrahim berdalih.
“Bukan ke kau nak pasang lagu ‘menerobos’ tu tadi?”
“Haah la. Kak, lagu ‘menerobos’ ade tak?”
“Menerobos?  Lagu ape tu? Tak pernah dengar pun. Dia ni kan...janganlah panggil saya  kak. Saya ada nama la cik abang oi. Panggil saya Anis.”
Ibrahim sekali lagi tersentak. Nama itu lagi.
“Ameerah Hanisah?” Spontan dia bertanya.
“Tak. Nur Anis Emilia. Kenapa?” Pelik tiba-tiba ditanya. Malek turut kehairanan.
“Takde apa-apalah. Lagu tadi tu tajuknya Gelombang Keadilan, Shoutul Harokah, kumpulan nasyid Indonesia.”
“Er, maaflah. Kami tak ada lagu tu. Kami ada nasyid Malaysia aje.”
“Takpe, laptop awak ni ada bluetooth tak? Biar saya send guna handphone saya.”
“Okey. Kejap ye, Anis pasang bluetooth. Okey, hantarlah.”
“Kejap ye.”
“Okey, dah dapat. Nanti Anis mainkan lagu ni. Thanks for dedicating!”
“Your welcome.”
Lalu Ibrahim dan Malik pun beredar daripada booth tersebut.
“Kau kenal ke minah tadi tu?”
“Tak.”
“Habis tu, apasal kau tanya macam kenal?”
“Takde  apa-apalah Malik. Eh, jom tengok kedai buku tu, entah-entah ada novel  baru kut.” Ibrahim berjalan ke arah booth menjual buku-buku meninggalkan  Malek di belakang. Malik semakin kehairanan.
‘Kenapa Im nih?’
*****
“Bling!” Laptopnya mengeluarkan suara. Menandakan ada mesej diterima di Yahoo! Messengger. ID yang tidak dikenali menyapanya. Cahaya_Nisa.
‘Siapa pulak ni?’ Lalu jemarinya menaip.
Ya?
Im, ni Anis. Ingat lagi tak?
‘Anis? Gulp!’  Mukanya memerah. Nasib baik hanya berseorangan di bilik ketika itu.  Sesiapa yang ada di sekitarnya pasti perasan akan perubahan itu. Dia  amat sensitif dengan nama itu. Setiap kali terdengar nama itu pasti  kenangan silamnya kembali betamu di mindanya.
Hello, Im, ada kat situ tak?
Ada-ada. Er, Anis mana ye?
Alah, yang jadi DeeJay masa convo haritu. Anis dapat ID Im daripada Ajib. Maaflah mengganggu.
Tak apa. Kenapa Anis?
Tak, nak tanya sikit pasal agama. Ajib kata Im teror bab-bab agama ni.
‘Ni Ajib dah jual cerita apa pasal aku ni.’  Di benaknya terbayang wajah temannya itu tersengih. Memang dirinya  sering dirujuk tentang bab-bab agama. Ibrahim merupakan salah seorang  aktivis dakwah  yang aktif di kampus mereka. Universiti Teknologi  Petronas, UTP ataupun di kalangan aktivis dakwah lebih dikenali sebagai  Universiti Tarbiyah Pendakwah. Ibrahimlah yang menamakannya. Bahkan dia  dan Malik telah menggubah lagu universiti menjadi lagu universiti  tarbiyah.
Tak adalah. Sikit-sikit boleh lah.
Bagus  la Im ni kan, merendah diri. Ni nak tanya, ada tak ayat Al-Quran yang  cerita tentang Teori Big Bang? Saya nak buat assignment Islamic Studies  tentang Sains & Al-Quran.
Owh, ada. Surah Al-Anbiya’, surah ke 21, ayat ke 30.
Hah, senang tanya Im. Sekejap je dah dapat. Anis search kat internet tak jumpa-jumpa. Im hafal Quran ke?
Tak ada lah. Biasa baca je. Taulah sikit-sikit.
Thanks. Nanti kalau ada apa-apa nak tanya Anis contact Im lagi ye. Boleh kan?
Boleh je. Apa yang mampu la.
Ok. Bye. Salam.
Wa’alaikumussalam.
Hati  Ibrahim bergetar hebat. Sekian lama tidak berinteraksi dengan wanita  seperti itu. Dia kembali terbayang wajah Anis. Segera disingkirkannya.
“Astaghfirullah...kenapa aku asyik terfikir pasal dia ni?”
Ibrahim  memuhasabah dirinya. Tiba-tiba telefon bimbitnya bergetar. Tanda mesej  masuk. Dicapainya Sony Ericsson K800i itu. Nombor yang tidak dikenali.  Lalu dibuka.
Im, sorry kacau lagi. Dah off YAHOO! MESSENGER. Nak tanya lagi ni. Pasal peredaran planet di orbitnya, ada ayat Al-Quran tak?
‘Aiseh, ni mesti Ajib pergi bagi nombor telefon aku sekali nih. Suka-suki dia je jual nombor aku.’
Ada,  dalam Surah Yasin. Surah ke 36, ayat 38. Tu cerita pasal matahari  beredar di garis edarnya. Nanti Saya bagi senarai-senarai ayat Al-Quran  yang berkaitan pasal sains ye. Saya send kat email.
Ok, thanks.
Hari  demi hari Anis semakin kerap menghubungi Ibrahim. Daripada bertanya  masalah pelajaran, membawa kepada hal-hal yang umum. Daripada masalah  fiqh hinggalah ke masalah peribadi. Keramahan Anis pada mulanya  membuatkan Ibrahim gelisah. Namun setelah berbalasan berpuluh-puluh sms  dan berjam-jam berbual di YAHOO! MESSENGER, Ibrahim sudahpun  menganggapnya biasa. Terkadang, dia juga berlawak dengan Anis. Ketika  terfikir apa yang dilakukannya salah, dia memujuk dirinya dengan  berfikir,
‘Dia ni ada potensi untuk jadi lebih baik. Minatnya pada agama perlu dimanfaatkan sebaiknya. Aku perlu bimbing dia.’
Dan  memang itulah yang terjadi. Ibrahim bijak mengatur arah perbincangan,  menerangkan tentang hakikat kehidupan, siapakah sebenarnya diri kita,  tujuan hidup dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Anis semakin  banyak berubah. Penampilannya juga semakin baik. Mula memakai pakaian  yang longgar. Ibrahim merasakan usahanya tidak sia-sia.
‘Aku akan bimbing dia betul-betul.’ Bisik hatinya.
Ibrahim  bertambah ceria di hari-harinya. Dan Malik adalah orang yang paling  menyedari perubahan itu. Dia amat mencurigai perubahan Ibrahim. Lalu  tergerak hatinya untuk menziarahi bilik Ibrahim.
Pintu  bilik diketuk. Tiada jawapan. Lalu tombol pintu dipulas. Ibrahim tiada.  Laptop di atas meja menyala. Sebuah window Yahoo! Messengger kelihatan  di skrin. ID : Cahaya_Nisa.
Im, hari ni Anis sedih betul. Kucing Anis, Shiro dah takde.
Im, ade tak tu?
BUZZ!!!
BUZZ!!!
BUZZ!!!
Im...
‘Aik, anis? Siapa ni? Nampak macam rapat betul dengan Im. Adik dia?’
Lalu Malik memberanikan diri untuk membaca recent messages. Ditelitinya satu demi satu.
‘Haih, sampai warna kegemaran dan makanan kegemaran pun nak cerita ni kenapa?’  Malik semakin curiga. Terus membaca. Lalu terbaca gurau senda antara Im  dan Anis. Tidak menggambarkan seorang aktivis dakwah. Malik seakan-akan  tidak percaya.
‘Betulke apa yang aku tengok ni? Im bercinta?’  Duganya. Dia berharap apa yang difikirkannya itu tidak benar. Dia  menutup kembali mesej-mesej tersebut lalu berbaring di atas katil  Ibrahim. Terasa tubuhnya lemah tak bermaya. Tiba-tiba Ibrahim masuk.
“Eh, Lek, bila kau datang? Tiba-tiba dah ada atas katil aku.” Ibrahim segera ke komputer dan menutup window chat Anis.
“Baru je. Tengok kau takde, aku baringlah atas katil kau ni. Kau pergi mana?”
“Turun blok sebelah  jap, jumpa Azman. Bayar hutang.”
“Im, aku tengok kau ceria semacam je kebelakangan ni.”
“Eh, tak adalah. Biasa je.”
“Aku tengok kau asyik-asyik dengan handset kau tu. Kau main SMS dengan siapa?”
“Mana ada orang lain. Aku SMS mad’u aku la.” Suaranya sedikit gugup.
“Im, aku kenal kau. Kalau SMS mad’u bukan macam ni rupanya. Ni dah macam orang tengah bercinta je aku tengok.”
“Apa yang kau cakap ni Lek..mana ada.”
“Afwan Im, aku dah terbaca chat kau dengan Anis.”
“Erk...”
“Im...” Malik bersuara lirih.
Im hanya tertunduk. Dia tidak mampu berdalih lagi di depan Malik.
“Im...aku  hormat kau. Kau yang kenalkan aku dengan tarbiyah ni. Kau patut lebih  faham tentang interaksi lelaki dan perempuan. Dulu kau yang terangkan  kat aku. Sampai aku clash. Macam kau clash dulu. Tapi aku tak paham,  kenapa kau kembali buat benda ni? Takkan kau nak jadi golongan yang  Allah murkai? Tau cakap, tapi tak buat? ” Malik benar-benar tidak boleh  menerima hakikat yang dihadapinya itu. Diungkapkan ayat 2 dan 3 daripada  Surah As-Saaf.
Ibrahim hanya terdiam.
“Mana  pemahaman kau tentang hadith Rasulullah yang kau bacakan dulu? Nasib  anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah  melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya  mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki,  zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj  (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti. Aku sampai hafal hadith  ni sebab kau yang terang kat aku dulu.”
Ibrahim ditembak bertubi-tubi.
“Malik..biar  aku jelaskan. Kau ingat masa aku cerita kat kau pasal aku clash tu,  yang lepas tu kau pun clash gak? Kau ingat cerita tu?”
“Mestilah  ingat. Kau mula sedar hakikat percintaan lepas ikut halaqoh kat sekolah  dulu. Lepas tu jumpa awek kau, mintak clash. Cerita kau tu aku siap  buat cerpen lagi kau tahu.”
“Aku tahu. Selalu aku baca blog kau. Tapi sebenarnya Lek, cerita tu tak habis.”
“Tak habis? Maksud kau?”
--------
Petang  yang tenang. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dataran Putrajaya  dikunjungi pelbagai pelancong tidak kira usia dan bangsa. Kelihatan dua  pasangan berjalan beriringan. Rapat, tetapi masih mempunyai jarak. 
“Awak,  jom kita pergi tepi tasik. Pemandangan kat sana cantik.” Anis mengajak.  Ibrahim hanya mengikut tanpa kata-kata. Mukanya tidak ceria seperti  biasa.
Mereka  memerhatikan tasik yang terbentang luas. Indah. Ditambah dengan  keunikan binaan jambatan serta bangunan yang berdiri megah. Sesiapa yang  menghadiri pasti akan tertarik dengan keindahannya. Ibrahim dan Anis  sepi tanpa bicara. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
“Awak kata ada benda nak cakap dengan saya petang ni. Apa dia?” Anis memecah kesunyian.
Ibrahim memandang wajah Anis seketika. Lalu kembali memandang ke arah tasik.
“Awak nak tahu ke?” Ibrahim bertanya.
“Mestilah nak. Awak dah ajak datang sampai sini, lepas tu taknak cakap pulak.”
“Saya takut awak tak boleh terima.” Suara Ibrahim bergetar.
“Im, kenapa ni..cakaplah.” Anis mula kehairanan.
“Anis, saya rasa lebih baik kita putuskan hubungan kita ni.”
“Kenapa!?” Suara Anis separuh menjerit. Dia amat terkejut dengan penyataan Ibrahim.
“Sebenarnya  hubungan kita ini tidak dibenarkan dalam Islam. Selagi kita tiada  apa-apa hubungan yang sah, kita tidak boleh bercinta seperti ini. Saya  dah sedar. Selama ni kita silap. Apa yang kita buat ni menghampiri zina!  Maksiat! Dosa!”
“Apa  awak cakap ni!? Mana ada kita buat maksiat. Kita tak pernah bersentuhan  pun. Ke ini cuma alasan awak? Awak dah ada yang lain?” Anis masih tidak  percaya.
“Tidak  Anis. Bukan sebab tu. Memang apa yang kita buat ni salah. Zina ni ada  macam-macam. Ada zina betul. Itu memang kita tak buat. Tapi ada zina  mata, zina telinga, zina lidah, zina kaki, zina tangan, dan zina hati.  Semua itu yang kita dah terlanjur buat.”
“Jadi? Kita clash?”
“Itulah yang terbaik.”
Anis  terdiam. Dia memahami hakikat yang Ibrahim memang ingin menamatkannya  di situ. Tetapi dia tidak mampu menerima hakikat yang mereka perlu  berpisah. Air matanya berguguran. Dia menekupkan mukanya menghadap ke  tasik. Tangisnya mulai kedengaran.
“Maafkan  saya Anis. Sampai di sini sahaja. Hari ni hari terakhir kita bersama.  Saya harap lepas ni kita tak perlu berjumpa dan berhubung lagi.”
Anis terus menangis. Mukanya masih ditekupkan. Ibrahim tidak sanggup untuk terus melihat keadaan itu. Jiwa lelakinya terusik.
“Anis, saya tunggu awak kat kereta. Saya hantar awak balik.” 
Ibrahim  menuju ke arah kereta. Matanya turut berair. Jiwanya juga sukar untuk  menerima hakikat itu. Berat sungguh hatinya untuk menyampaikan  kebenaran, namun digagahi jua. Dia bersandar di but Honda Civic 1.6  milik ayahnya itu. Memori memutarkan saat-saat indah yang dilalui  bersama Anis. Ibrahim menangis sendirian.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Mesej masuk. Anis.
Awak,  terima kasih atas layanan awak selama ni. Saya minta maaf atas segala  salah silap saya selama kita bersama. Namun saya masih tidak mampu  menerima hakikat ini. Maafkan saya. Selamat tinggal Im.
‘Ni kenapa lain macam je mesej dia ni?’
Sudahlah tu, mari saya hantar awak balik.
Ibrahim  terus menunggu Anis di kereta. Namun kelibat Anis tidak juga kelihatan.  Tiba-tiba dia terdengar perbualan pemandu kereta di sebelahnya.
“Weh, ada orang terjun tasik. Gila agaknya.”
“Putus cinta kut. Mati ke?”
“Entah, tapi aku dengar siap berdarah lagi.”
Ibrahim amat terkejut mendengar perbualan itu. Dia berlari sekuat hati menuju ke arah tasik.
‘Anis, apa yang kau buat ni!? Janganlah kau yang dimaksudkan mereka. Ya-Allah, bantulah hambaMu ini.’ Desis hatinya.
Sesampainya  di tepi tasik, kelihatan ramai orang sedang berkerumun di tebing.  Ibrahim meluru masuk untuk melihat ke dalam tasik. Kelihatan seorang  perempuan terapung di permukaan air. Baju putihnya telah memerah  diwarnai darah.
“Anis!!!!!!!”
Kakinya dirasakan amat lemah sekali. Ibrahim terduduk. Langit seakan-akan runtuh menghempapnya.
--------
“Jadi awek kau tu bunuh diri?” Malik ingin kepastian.
“Ya.  Kepala dia terhantuk ke batu sebelum masuk ke dalam air. Masa dia  dikeluarkan dari air, dia dah tak bernyawa.” Ibrahim bersuara lemah.  Matanya mengalirkan air mata.
“Sabar  Im. Aku faham perasaan kau. Mungkin kau masih rasa bersalah. Tapi, aku  tak paham, apa kaitan cerita lama kau ni dengan apa yang berlaku  sekarang ni?” Malik masih cuba menyambung jalan cerita yang kelihatan  tidak selari.
“Awek  aku dulu tu nama dia pun Anis. Ameerah Hanisah. Muka dia pun memang  sebijik dengan Nur Anis Emilia yang jadi DeeJay masa convo hari tu.”
Malik mengingat-ingat kelakuan Ibrahim kelmarin. Simpulan teka-teki yang bermain di fikirannya kini terurai.
“Jadi kau rasa Allah pertemukan kau dengan Nur Anis Emila untuk beri kau peluang kedua?”
“Lebih  kurang macam tu lah. Aku tak bercinta dengan dia. Aku cuma nak bimbing  dia je. Harap dia pun boleh jadi salah seorang pejuang Islam.”
“Im,  niat kau memang baik. Tapi cara kau ni dah salah. Memang Anis tu boleh  dibimbing. Tapi cara yang kau guna ni tak selari dengan syariat.”
“Maksud kau?”
“Cuba kau tanya balik hati kau. Masa kau berhubung dengan Anis, betul ke yang kau memang ikhlas nak bimbing dia kepada Allah?”
“Mestilah.”
“Setiap masa, saat dan ketika?”
Ibrahim terdiam dan berfikir.
‘Betul  kata Malik. Hati aku tak ikhlas nak bimbing dia. Banyak masa yang aku  dan Anis hanya berbual-bual kosong dan melayan perasaan je. Hati aku  bermaksiat. Astaghfirullah..’
“Kita  lelaki Im. Kita takkan mampu melawan fitrah. Allah dah menetapkan,  nafsu manusia paling tertarik kepada lawan jenisnya. Lelaki amat  tertarik kepada wanita.”
“Kau betul. Surah Ali ‘Imran ayat 14.”
“Hah,  kau pun hafal. Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta  terhadap apa yang dinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak,  harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan,  haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di  sisi Allah-lah tempat kembali yang baik. Perempuan diletakkan di tempat  yang pertama dalam senarai tu. Mesti ada sebabnya.” Malik menerangkan  maksud ayat ke 14 daripada surah Ali-Imran.
“Jadi, macam mana nak buat?”
“Kita kan hidup berjemaah. Yang perempuan, kita mintak akhwat kita uruskan. Mereka lebih sesuai untuk membimbing Anis.”
“Em. Insya-Allah akan aku usahakan.” Suara Ibrahim lemah.
“Kau masih terkenang kisah lama ke?”
Ibrahim mengangguk.
“Jangan  banyak fikir Im. Kau doakan semoga Allah mengampunkan dosa Anis kau tu.  Mungkin masa tu dia tengah tak tenang. Fikiran dia bercelaru. Dia bunuh  diri dalam keadaan tidak sedar. Allah tak hukum orang atas kesilapan  yang tidak disengajakanya. Ingat ayat terakhir Surah Al-Baqarah, yang  kita selalu baca dalam Al-Ma’thurat tu.”
“Em, tapi aku rasa bersalah. Dia bunuh diri sebab aku.”
“Tenang  Im. Bukannya kau yang suruh dia bunuh diri. Kau tak pernah harap pun  dia akan buat perkara bodoh macam tu. Banyakkan istighfar dan berdoa  Im.”
“Insya-Allah.”
“Im.”
“Ya?”
Malik memeluk Ibrahim. Dakapannya kuat. Ibrahim turut memeluk Malik.
“Maafkan aku sebab meninggi suara pada kau tadi. Aku sayangkan Ikhwah aku. Aku taknak kau kembali ke lembah maksiat.”
“Aku  paham Malik. Terima kasih atas teguran kau. Insya-Allah aku akan  perbaiki diri. Memang sekarang ni aku rasa aku dah banyak lari daripada  syariat. Aku akan kembali menjaga keaslian peribadi Da’i aku. Doakan aku  Lek.”
“Setiap masa.”
“Im?”
“Ya?”
“Aku nak buat cerpen cerita kau ni boleh?”
“Tak boleh.”
“Kenapa?”
“Ayat kau tak best. Biar aku tulis sendiri.”
“Ceh.”
*****
“Tok tok tok” Bunyi Yahoo! Messenger  menandakan ada rakan online. Ibrahim melihat ke bucu skrin. ID Anis  menyala. Lalu dia membuka tetingkap untuk memulakan chat dengan Anis.  Hatinya tekad.
Assalamu’alaikum...
Wa’alaikumussalam..Im, pekaba?
Sihat je, Alhamdulillah. Anis, try baca artikel ni.
Ibrahim menghantar file Microsoft Word Bertajuk ‘Ikhtilat.’
Ikhtilat? Apa tu?
Baca la dulu.
Anis tidak lagi membalas mesej. 10 minit berlalu.
Dah baca.
Faham?
Faham la juga. Ikhtilat ni percampuran antara lelaki dan perempuan. Dalam Islam pergaulan ini ada batas-batasnya.
Betul tu. Lelaki dan perempuan tidak patut berhubung melainkan ada hal yang benar-benar perlu. Kebersihan hati perlu dijaga.
Jadi...macam mana dengan kita ni? Anis rasa kita tersilap dalam berhubung selama ni. Banyak gurau-gurau je.
Em, kita tak sesuai nak berbincang-bincang banyak, sebab kita bukan mahram. Susah nak jaga hati.
Jadi?  Lepas ni Anis tak boleh contact Im lagi? Pada siapa Anis nak tanya  hal-hal agama lagi? Selama ni Im dah banyak bimbing Anis.
Im  ada kawan usrah bahagian perempuan. Kalau Anis betul-betul perlukan  bimbingan, Anis contact dia. Insya-Allah dia boleh membimbing Anis  dengan lebih baik. Lagipun, perempuan lebih memahami perempuan.
Em, kalau macam tu baiklah. Bagilah no telefon dia.
Nanti Im hantar SMS.
Ok, thanks.
Your welcome. Semoga lepas ni Anis akan dibimbing dengan lebih baik. Assalamu’alaikum..
Wa’alaikumussalam.
Lalu  Ibrahim membuang nama Anis daripada Friend’s List Yahoo!  Mesessengernya. Dia tidak mahu kembali menghubungi Anis. Hatinya tidak  kuat untuk bertahan sekiranya mereka terus berhubung dan berbual-bual.
‘Ya-Allah.  Ampunkan aku atas keterlanjuranku ini. Aku telah mengunakan nama dakwah  untuk memenuhi kehendak nafsu. Aku tidak ikhlas dalam membimbing Anis  selama ini.Bantulah aku untuk memperbaiki diriku. Jadikanlah aku Da’i  sejati.’ Ibrahim memanjatkan doa.
Malam  itu sebelum tidur, Ibrahim menghabiskan bacaan Al-Qurannya. Smbil duduk  di atas katilnya, dia masih meneruskan bacaannya. Namun dia tidak mampu  melawan rasa mengantuk. Ibrahim tertidur. Al-Quran kecilnya terlepas  daripada pengangannya.
Ibrahim  terkejut melihat dua perempuan itu berdiri di hadapannya. Wajah mereka  seiras. Hampir tidak dapat dibezakannya. Nur Anis Emilia dan Ameerah  Hanisah masing-masing tersenyum kepadanya. Lalu Nur Anis Emilia  melangkah ke hadapan dan menghulurkan Al-Quran kecilnya kepadanya.
Tiba-tiba Ibrahim tersedar. Jam menunjukkan 3.30 pagi.
“Astaghfirullah! Aku mimpi.” Ibrahim berkata kepada dirinya sendiri.
Lalu  dia segera bangkit dan bergerak ke bilik air. Dia ingin solat malam.  Dalam solatnya dia berdoa agar dosanya dan Anis yang telah membunuh diri  3 tahun yang lalu diampunkan. Dia juga mendoakan Anis yang baru  dikenalinya itu dapat mengecap nikmat tarbiyah dan dibimbing menelusuri  jalan dakwah. Dalam hatinya dia masih sukar melupakan kedua-dua Anis  itu. Ibrahim terus berdoa. Memohon secebis kekuatan dan keteguhan bagi  mengharungi cabaran kehidupan yang mendatang.
*****
Masa  berlalu dengan pantas. Sudah hampir setahun Ibrahim tidak menghubungi  Anis. Ibrahim sudah semakin matang dalam pergaulannya. Kini dia di tahun  3. Dia juga sudah mempunyai usrah-usrah yang dipimpinnya sendiri. Dia  sentiasa menyibukkan dirinya dengan aktiviti dakwah dan tarbiyah agar  hatinya tidak terfikir akan Anis. Malik banyak membantunya.
Selepas sesi halaqohnya,
“Akh, ana ada benda sikit nak cakap dengan antum.” Ujar murobbi Ibrahim. Halaqoh malam itu di Tronoh, di rumah murobbinya.
“Kejap ye akh, ana beritahu Malik.”
“Lek, kau gerak dulu dengan Fazley ye. Aku ada hal sikit nak bincang dengan murobbi kita ni.”
“Hah, mesti kau ade wat masalah lagi ni. Siaplah kau kena marah.” Malik mengacah.
“Alah, takde apa-apalah. Dia nak mintak tolong je kut.”
“Okay, aku gerak dulu. Assalamu’alaikum.”
“Wa’alaikumussalam. Jangan kunci pintu, aku terlupa bawak kunci.”
“Nak kunci juga!” Gurau Malik.
Ibrahim tersenyum melihat telatah Malik. Lalu dia kembali masuk ke dalam rumah.
“Kenapa akh? Apa yang antum nak bincangkan?”
“Macam ni. Ada akhwat khitbah antum.”
“Hah? Khitbah?” Jantung Ibrahim seperti berhenti berdegup. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang baru didengarinya.
“Haah, antum dah bersedia nak menikah?”
“Ana okay je. Masalahnya parent ana la. Diorang tak bagi. Dulu dah pernah mintak dah.”
“Berapa lama lagi?”
“Dua tahun lagi la kut. Lepas grad. Akh, ni betul-betul ke antum bergurau je ni akh?”
“Ya-Allah,  antum ingat ana main-main ke? Ni ana tunjuk mesej akhwat tu.” Sambil  mengeluarkan telefon bimbitnya daripada saku. Namun dimasukkannya  semula.
“Nanti kantoi pulak siapa akhwat tu. Antum belum confirm lagi.” Kata murobbinya.
“Betul juga. Baik ana tak tahu dulu. Tapi ana memang tak kisah nak nikah, masalahnya Cuma parent ana je la.”
“Antum cuba tanya parent antum baik-baik dulu. Kalau memang tak boleh, ana beritahu akhwat tu.”
“Insya-Allah, nanti ana cuba. Ana balik dulu ye akh. Assalamu’alaikum”
“Wa’alaikumussalam Warahmatullah.”
Ibrahim menghidupkan Honda Wavenya. Dia masih belum percaya akan berita yang didengarinya.
‘Ada  akhwat yang nak nikah dengan aku? Biar betul? Siapa ya? Aku bukannya  kenal mana-mana akhwat kat UTP tu. Macam mana tiba-tiba ada yang nak kat  aku? Jangan-jangan Anis? Dia dah ikut halaqoh. Dia kut akhwat tu. Macam  mana dia sekarang ya?’
“Astaghfirullah..” Spontan bibirnya mengucap istighfar. Dia tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan.
Motor  terus dipecut memasuki universiti tercinta. Village 3 menjadi  destinasi. Setibanya di bilik, Malek sudah lena di atas katil. Dia sudah  berpindah ke bilik Malik. Mudah untuk belajar dan pergi ke kuliah  bersama-sama. Dalam masa yang sama, dia lebih terjaga kerana ada yang  dapan menasihatinya.
Dia kembali terfikir akan kata-kata murobbinya. Dia masih sukar untuk mempercayainya. Lalu dia menghantar SMS.
Akh, tolong foward mesej akhwat tu boleh?
Setelah beberapa ketika, mesej yang ditunggu sampai. Berdebar hatinya hendak membuka.
Salam  akh. Untuk mengelakkan maksiat dan menjaga kesucian jalan dakwah ini,  ana mengambil keputusan untuk bernikah. Dan ana mengkhitbah Akh Ibrahim.  Maafkan ana jika cara ini salah dan jika belum sampai masanya,  nasihatilah ana supaya bersabar dalam dalam keimanan dan ketaatan.
Ibrahim  tersandar di kerusnya. Perasaannya menjadi tidak tentu hala. Dia  sendiri tidak mengetahui apa yang sebenarnya yang sedang dirasakannya  saat itu. Serba salah? Malu? Bahagia? Gembira?
‘Ya-Allah, bantulah aku untuk menghadapi semua ini.’
Wudhu’ diambil. Sejadah dihamparkan. Solat malam didirikan. Ibrahim mengadukan segalanya kepada Allah yang Maha Mendengar.
*****
Hujung  minggu itu Ibrahim mengambil peluang untuk pulang ke rumahnya.  Kebetulan hujung minggu itu tiada aktiviti dakwah yang disusun untuknya.  Ada dauroh untuk ikhwah baru, tetapi dia telah meminta Malik untuk  menguruskannya.
--------
“Lek, aku nak kena balik la hujung minggu ni. Aku nak jumpa mak aku.”
“Hah, kenapa? Nak mintak kahwin?”
“Aik, mana  kau tahu?”
“Aku saje je teka. Betul ke?”
“Banyak la ko. Mak aku kan tak bagi lagi.”
“Mana tahu kalau kali ni dia bagi.”
“Kalau..”
“Doalah lebih-lebih sikit. Insya-Allah dapat.”
“Kau doakanlah. Doa orang terzalimi kan makbul.”
“Ceh, kau nak cakap kau makan aku punya roti tadi tu menzalimi aku la?”
“Tak, aku basuh baju guna 50 sen kau tadi, tak cakap kat kau lagi.”
“Weh,  tak guna punya Im. Dahlah aku kumpul lama duit tu. Sekali kau guna  pulak. Ni memang terzalimi nih. Ni yang aku nak doa nih. Ya-Allah,  cepatkanlah sahabatku Muhammad Ibrahim ni bernikah.”
“Amin..”
Mereka  tertawa bersama. Namun hanya Ibrahim yang mengetahui apa yang  sebenarnya sedang dihadapinya. Pinangan daripada akhwat yang tidak  diketahui identitinya. Namun dirinya kuat merasakan yang itu adalah  Anis. Dia tidak pernah menghubungi Anis sejak kali terakhir berhubung  menggunakan Yahoo! Messenger setahun lalu. Dirinya resah untuk  menghadapi ibunya. Berkali-kali sudah dia melakukan solat hajat dan  istikharah. Lalu minggu itu dia mengambil keputusan untuk menemui ibunya  juga.
--------
“Ibu, tengah buat apa tu?”
“Menanda  buku anak-anak murid ni ha. Kenapa?” sambil tangan kanan  ibunya yang  memegang pen merah itu bergerak-gerak di atas buku tulis di atas meja.  Sesekali dia membetulkan letak kaca matanya.
“Banyak lagi ke?”
“Dah nak habis dah ni. Kenapanya kamu nih?”
“Takpelah bu, ibu habiskan tanda dulu, nanti Im datang balik.”
“Tak  payah. Dah habis dah ni. Apa yang kamu nak cakap ni Im? Serius betul  gayanya?” Kata ibu Im sambil melucutkan kaca matanya. Diletakkan di  dalam kotak cermin mata.
“Macam ni ibu.”
Im terdiam sebentar. Dia memilih kata-kata yang sesuai untuk memulakan. Hatinya sedikit resah.
‘Macam mana nak cakap ni. Boleh ke dia terima? Takpelah, tanya je. Bukan mati pun. Aku dah prepare lama dah ni.’
“Mula-mula, Im mintak ibu tenang-tenang dulu ye. Kurangkan beremosi. Nabi kata, sabar itu sebahagian daripada iman.”
“Yelah, Ibu tenanglah ni. Apanya yang kamu nak cerita sebenarnya ni..?”
“Ibu, Im rasa Im nak menikahlah ibu.”
“Itu lagi. Kan ibu dah kata, lepas grad nanti kamu nikahlah.”
“Cabaran  hidup kat universiti tu kuat ibu, Im tak kuat. Nyaris Im bercouple  semula. Nasib baik Malik sempat tegur, kalau tak Im hanyut lagi.”
Ibu  Im tahu tentang anaknya itu pernah bercinta dan meninggalkan dunia itu.  Sebabnya juga dia tahu, kerana agama, kerana anaknya itu tidak mahu  menghampiri zina. Namun ibunya tidak mengetahui kisah kematian Anis.  Bahkan tidak mengenali Anis. Yang mengetahui kisah itu hanyalah Malik  dan mereka yang berada di sekitar tasik itu pada hari kejadian. Surat  khabar turun menyembunyikan kisah itu bagi mengelakkan kekurangan  pengunjung dan menjaga nama baik tempat rekreasi tersebut.
“Hah, dengan siapa pula kamu kali ni? Dah ikut usrah pun boleh nak bercinta lagi? Mesti budak perempuan tu cantik kan?”
“Cantik tu boleh tahan lah. Itulah Im kata, susah nak hadapi cabaran hidup zaman remaja kat universiti tu.”
“Kamu dah ada duit ke? Nak kahwin ni banyak guna duit.”
‘Hah, macam ada peluang.’
“Duit  Im bisnes-bisnes Al-Quran dan jual lencana Brotherhood Arts tu campur  dengan duit simpanan adalah dalam RM7,000. Rasanya cukup.”
“Mana cukup tu Im. Kurang-kurang kena RM10,000 lebih. Nak kenduri, hantaran lagi.”
“Im  rancang macam ni ibu. Nikah dulu. Buat majlis kecil-kecil. Kami terus  belajar macam biasa. Hidup guna duit biasiswa. Im akan beri nafkah  semampu Im. Pasal anak, insya-Allah kami merancang semampu kami. Banyak  cara yang boleh diguna untuk merancang kehamilan. Sementara habiskan  kuliah kami akan kumpul duit sama-sama. Nanti lepas grad bolehlah buat  kenduri, insya-Allah.”
“Hah, kamu ni cakap macam dah ada calon je? Ye ke?”
“Ini yang ibu nak kena dengar ni. Anak ibu ni dah ada orang yang minat.”
“Maksud kamu?”
“Ada kawan yang ikut usrah dah merisik dengan Im. Dia SMS pada naqib Im, cakap dia nak pinang Im.”
“Hah? Siapa dia?”
“Entah, tak kenal lagi.”
“Lah..kamu ni betul-betul ke main-main.”
“Betullah  ibu. Im taknak kenal lagi sebab Im belum boleh dapat nikah lagi. Im tak  beri jawapan lagi pada dia. Ni yang balik jumpa Ibu ni.”
“Patutnya kamu tanyalah dulu siapa orangnya.”
“Im  tak berani ibu. Kalaulah tak jadi, kan huru-hara jadinya. Lagi tak  tenang hati Im, tau ada orang yang minat pada Im. Kalau terjumpa nanti  lagilah pening kepala. Baik tak payah tahu.”
Ibu Ibrahim terdiam. Lama juga diamnya. Kelihatan berfikir. Ibrahim berdebar menunggu. Setelah seketika barulah ibunya bersuara.
“Nantilah ibu bincang dengan ayah kamu.”
Setelah  meminta izin daripada ibunya, Ibrahim meninggalkan ibunya lalu pergi ke  biliknya di tingkat atas. Usaha telah diletakkan. Doa sudah  berkali-kali dipanjatkan. Kini hanya tawakkal menjadi pilihan. Hatinya  dipasrahkan sepenuhnya kepada Allah penguasa sekalian alam.
*****
Telefon  bimbit Sony Ericsson K800i memainkan lagu Khilafah Islamiyyah dendangan  kumpulan IRA, sebuah kumpulan nasyid Indonesia. Ibrahim tersedar lalu  mematikan loceng telefon bimbitnya. Jam menunjukkan 4.35 pagi. Dia  segera bangkit menuju ke kamar mandi untuk berwudhuk. Pagi itu terasa  amat nyaman. Seakan-akan pagi itu ingin mengkhabarkannya berita gembira  yang ditunggu-tunggunya. Sejadah dihamparkan. Ibrahim menunaikan solat  tahajjud, taubat dah hajat. Dia berdoa agar Allah memberikannya  kemudahan dalam setiap urusannya.
‘Ya-Allah,  seandainya pernikahan itu adalah jalan yang terbaik buat iman dan taqwa  serta dakwahku, maka permudahkanlah aku kepadanya. Namun seandainya ia  bukanlah yang terbaik buatku, aku tahu bahawa sesunggunya Engkau Maha  Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaMu, maka tabahkanlah hatiku  dalam menempuh apa sahaja yang Engkau telah taqdirkan untukku.’
Ibrahim larut dalam munajatnya.
Selepas  solat subuh dan membaca Al-Ma’thurat, Ibrahim kelihatan lebih tenang.  Wajahnya kelihatan yakin. Dia percaya yang perbincangan antara ibu dan  ayahnya pasti membuahkan keputusan yang terbaik. Dan buat dirinya, dia  amat yakin bahawa pernikahan merupakan solusi terbaik bagi masalah zaman  remaja yang dihadapinya. Mata yang sukar ditundukkan, keinginan diri  yang sukar dibalikkan, dan gelora hati yang sukar ditenangkan. Semua itu  bakal diselesaikan melalui pernikahan. Bukankah itu sabda nabi akhir  zaman :
"Wahai  generasi muda ! Bila diantaramu sudah mampu menikah hendaklah ia nikah,  karena mata akan lebih terjaga, kemaluan akan lebih terpelihara." (HR. Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas'ud).
‘Insya-Allah, Allah akan membantuku. Allah itu mengikut persangkaan hambaNya. Fikirkan yang positif.’
Ibrahim  mengulang-ulang kalimat itu dalam benaknya. Dia membayangkan yang ibu  dan ayahnya tersenyum sambil memberi keizinan kepadanya untuk  menyempurnakan sebahagian daripada agama. Dia membayangkannya  berkali-kali.
“Abang Im! Maharaja dan Maharani panggil menghadap!” Suara Uzair menghentikan lamunannya.
“Maharaja?  Maharani? Ni mesti dah ketagih tengok cerita cina petang-petang ni.  Panggil ke mana?” Ibrahim tersentak, namun cuba mengawal dirinya.
“Baginda menunggu di bilik tidur.”
“Ha,  lain kali nak guna bahasa istana, belajar dulu. Orang tak pakai bilik  tidur. Kamar peraduan!” Ibrahim kembali mengenakan adik bongsunya.
“Peraduan? Tu bukan pertandingan ke?”
“Pergi tengok kamus.” Sambil tersenyum Ibrahim meninggalkan adik bongsunya terpinga-pinga sendirian. 
Hatinya  kembali berdebar. Umpama berjalan ke mahkamah. Persidangan kes  permohonan pernikahan Muhammad Ibrahim bin Badiuzzaman. Hakimnya adalah  Encik Badiuzzaman dan jurinya Puan Halimah. Ibrahim cuba menenangkan  dirinya dengan istighfar dan berselawat. Ibrahim berdiri di hadapan  pintu bilik tidur ibu dan ayahnya.
‘Ya-Allah, permudahkanlah urusanku. Berikanlah aku kekuatan untuk menghadapinya.’
Ibrahim  memulas tombol dan melangkah masuk. Terlihat ibu dan ayahnya sedang  duduk bersila bersebelahan di atas lantai. Dia mengambil kedudukan di  hadapan mereka.
“Ibu  kamu dah cerita semuanya pada ayah semalam. Kami pun dah bincang  panjang lebar tentang hal ini.” Encik Badiuzzaman memulakan bicara.  Suaranya serius.
Ibrahim meneguk air liur. 
“Kamu sanggup menikah dengan seorang yang kamu tidak pernah kenal?” Ayahnya melontarkan persoalan.
‘Huh? Ni macam ada harapan.’ Ibrahim umpama melihat sinar cerah di hujung terowong.
“Im  yakin dengan Allah. Allah telah berfirman dalam Surah An-Nuur,  ayat ke  26, wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan  laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik. Im dah  berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi lelaki yang baik dan taat  kepada Allah. Insya-Allah, perempuan tu juga wanita yang baik dan taat  kepada Allah.” Im menjawab. Mantap.
Encik Badiuzzaman dan Puan Halimah berpandangan sesama sendiri. Ibrahim hanya terdiam melihat.
“Macam mana dengan soal nafkah? Lepas nikah, kamu kena tanggung isteri.” Giliran Puan Halimah menyoal.
“Soal  nafkah, macam yang Im cerita semalam. Insya-Allah kami akan teruskan  hidup dengan duit biasiswa yang sedia ada. Im akan beri tambahan semampu  Im. Im akan cuba kembangkan bisnes Al-Quran yang Im tengah buat ni.  Insya-Allah lepas ni lagi banyak pelanggan, dan keuntungan akan lebih  besar.” 
Im terdiam sebentar. Menarik nafas dan meneruskan bicara.
“Kalau  terpaksa bersusah, itukan lumrah kehidupan orang yang ingin mencari  redha Allah, akan diuji dan diuji. Im yakin dengan hadith nabi yang  diriwayatkan oleh At-Tarmizi:
 “Ada  tiga orang yang pasti (berhak) mendapat pertolongan Allah SWT:  al-mukatab (hamba yang berupaya memerdekakan diri) yang hendak  menunaikan tebusan dirinya, Lelaki yang bernikah kerana ingin menjaga  kesucian dan kehormatan dirinya, dan mujahid (pejuang) di jalan Allah.”
Im  kelihatan amat yakin. Dia telah bersedia bagi menjawab semua soalan  yang bakal dilontarkan. Sekali lagi ibu dan ayahnya saling berpandangan.  Buat seketika, mereka tidak berbicara apa-apa. Hanya bunyi putaran  kipas siling kedengaran.
“Ayah  dan Ibu dah bincang. Kami nampak kamu memang dah bersedia untuk  bernikah. Kamu yakin dengan kata-kata kamu. Kamu pun dah bersedia dengan  perancangan-perancangan kamu. Kamu boleh berdikari.” Encik Baduizzaman  memecah suasana. Kata-katanya membawa sinar harapan.
‘Nampak macam boleh ni! Tolonglah kata boleh.’
“Jadi kami bersetuju untuk membenarkan kamu bernikah Im.” Ujar ayahnya.
Hati Ibrahim kembang berbunga-bunga mendengar kata-kata itu. Lidahnya ingin mengucapkan hamdallah.
“Tetapi selepas kamu tamat kuliah nanti.”
Belum  sempat kalimah Alhamdulillah terpacul daripada mulutnya, ayahnya telah  memutuskan semua harapannya. Rasa kecewa tiba-tiba bertandang di  hatinya. Segala rasa optimisnya hilang begitu sahaja. Ingin sahaja dia  menangis di situ, tetapi dia menahan dirinya. Sedaya upaya dia memaksa  dirinya untuk berlagak tenang.
“Bukannya  kami tidak mahu beri kami nikah sekarang Im. Kami tahu kamu memang dah  bersedia. Tapi ibu dan ayah yang tidak bersedia. Kami tidak bersedia  untuk menghadapi pandangan nenek dan atuk kamu serta saudara-mara kamu  yang lain. Belum pernah dalam sejarah keluarga kita ada yang menikah  ketika masih kuliah.” Ibunya menyambung.
“Lagipun  Im, ayah dan ibu sebenarnya merancang untuk menunaikan haji tahun ini.  Banyak duit nak pakai. Kami harap kamu bersabarlah dulu. Insya-Allah  lepas kamu grad nanti kamu akan nikah dan terus buat walimah.  Bersabarlah Im. Dua tahun tu tak lama mana.”
Ibrahim  hanya terdiam. Dia cuba menerima hakikat. Keyakinannya sedari pagi tadi  telah hilang entah ke mana, diganti dengan kekecewaan dan kehampaan.  Kini dia hanya berfikir untuk meninggalkan bilik itu secepatnya.
“Kalau  macam tu, Im terima dengan hati terbuka. Im dah bersedia dengan segala  kemungkinan. Insya-Allah nanti Im akan sampaikan pada naqib Im supaya  boleh beritahu pada kawan tu. Im minta maaf kalau menyusahkan Ibu dan  Ayah untuk memikirkan masalah ni. Terima kasih kerana mempercayai Im.”  Ibrahim berkata lirih. Pasrah. Apa yang diucapnya itu amat berbeza  dengan isi hatinya. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya di saat  itu.
*****
Ibrahim  termenung di mejanya. Tangannya menongkat dagu. Pandangannya  dilontarkan ke luar tingkap. Fikirannya masih berlegar di sekitar  peristiwa pagi tadi. Sepanjang perjalanannya di dalam komuter matanya  basah. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia begitu kecewa atas penolakan  itu.
“Weh, apasal muka kau monyok semacam nih. Macam mati bini.” Malik menepuk belakangnya. Ibrahim terkejut. 
“Lebih kurang macam tu la.” Ibrahim menjawab lemah.
“Aik? Pelik kau ni. Biasanya kau melatah bila aku buat macam ni.” Malik bersuara dengan nada tanya.
Ibrahim  hanya terdiam. Tidak menjawab. Menoleh juga tidak. Malik semakin pelik.  Dia menarik kerusinya dan duduk di sebelah Ibrahim.
“Bro, ada prob story la kat aku. Apa guna kawan kalau tak digunakan. Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi?”
Ibrahim tersenyum mendengar peribahasa Malik yang tidak kena pada tempatnya. Hendak tertawa, belum sampai seru.
“Hah, senyum pun. Tenang friend, tenang. Masalah semua leh selesai kalau kena caranya. Ceritalah kat aku.”
Malik  memautkan lengannya di bahu Ibrahim. Kepalanya didekatkan dengan kepala  Ibrahim. Mereka kelihatan seperti adik beradik. Ibrahim pula memautkan  lengan ke bahu Malik.
“Aku kena reject lagi la Malik.”
“Reject? Dengan siapa?”
“Mak bapak aku.”
“Hah? Ape kes?” Malik semakin kehairanan.
“Aku balik ni mintak nikah la. Kena reject. Paham?”
“Owh, cakaplah terang-terang. Kau memang balik tu semata-mata nak mintak nikah ke? Apasal semangat sangat kau? Tiba-tiba je?”
Ibrahim  lalu menceritakan segala-galanya. Daripada pinangan Si Akhwat misteri  hinggalah kepada peristiwa pagi tadi. Malik mendengarkan dengan saksama.
“Habis tu, lepas grad jugalah nampaknya ye?”
“Gitulah gamaknye.”
“Sabarlah Im. Kita menikah bukan sebab ada orang dah berkenan kat kita.”
“Apa maksud kau?”
“Maksud  aku, kita kena ikhlaskan niat. Tanya balik diri kau. Sebenarnya kenapa  kau nak nikah? Entah kenapa, aku rasa niat kau tak cukup ikhlaslah Im.  Sorry, aku nak tanya sikit, kau rasa kau kenal akhwat tu?”
Ibrahim terdiam. Dia tidak mahu menyebut nama itu. Wajahnya semakin suram.
“Biar aku teka. Kau rasa akhwat tu Anis. Betul tak?”
Im terus terdiam.
“Im,  Im…kita kena ikhlaskan niat. Kita nak buat apa-apa pun, tujuan kena  betul, nak cari redha Allah. Bukan sebab mahklukNya. Cuba kau X-Ray sikit hati kau tu. Pastikan betul-betul apa niat kau.”
Ibrahim  mula berfikir. Kata-kata Malik dirasakan benar. Bukan redha Allah yang  sebenar-benarnya yang dicarinya. Bukan redha Allah yang mendorongnya  untuk pulang ke rumah memohon izin daripada ibu dan ayahnya untuk  menikah. Tetapi atas sebuah naluri bahawa akhwat yang menginginkannya  itu adalah Anis. Sekali lagi, hatinya tidak ikhlas.
“Betul kut cakap kau. Aku asyik terfikir pasal dia. Teruk betul aku ni kan Lek?”
“Itu  manusiawi Im. Bukan senang nak hadapi. Orang yang kau sayang separuh  mati tiba-tiba muncul semula selepas kematiannya. Kalau aku, rasanya tak  sanggup. Tapi masih ada ruang untuk perbaiki diri. Semua yang berlaku  mesti ada hikmahnya.”
“Betul  cakap kau. Entahlah, aku masih susah nak terima hakikat yang mak  bapak  aku tak bagi kebenaran lagi. Terasa macam Allah tak tolong aku.”
“Istighfar  Im. Istighfar. Bila kau mohon pada Allah sesuatu, Allah pasti dengar.  Dan Allah pasti makbulkan. Itukan yang difirmankanNya : Dan Tuhanmu  berfirman: Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Surah  Al-Mu’min ayat 60.”
Ibrahim terdiam. Matanya memandang tepat anak mata Malik. Menunggu ayat seterusnya.
“Tapi  kita kena ingat, Allah juga berfirman dalam ayat 216 Surah Al-Baqarah :  Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan  boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu;  Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
“Jadi, belum sampai masanya untuk aku menikah?” Im cuba membuat kesimpulan.
“Bila  kita memohon kepada Allah sesuatu yang kita mahu, Allah sebaliknya  memberikan kepada kita apa yang kita perlu. Kan kau dah dapat pass nak  kahwin lepas grad. Confirm dah tu. Bersyukurlah. Anggaplah dalam masa 2  tahun ni, Allah nak kau bersedia secukupnya. Nak kau jadi makin beriman  dan bertakwa. Makin ikhlas.”
“Betul  cakap kau. Aku ni tak bersyukur pulak kan. Ada ikhwah tu dah grad, mak  dia tak bagi-bagi lagi nikah. Aku ni dah confirm lagi 2 tahun, tapi tak  sabar. Betul kata orang, kita tak selalu dapat apa yang kita suka, jadi  kita kena belajar untuk suka apa yang kita dapat.”
Malik memandang Ibrahim sambil tersenyum. Ibrahim cuba untuk tersenyum. Senyumnya tawar.
“Aku ada satu lagu yang sesuai untuk kau. Menunggu Di Sayup Rindu. Kumpulan Maidany. Dengar ye.”
[boleh klik pada title nasyid utk dengar~ IMJ]ooo... burungpun bernyanyi
melepas sgala rindu
yang terendam malu
di balik qolbu
ooo...anginpun menari
mencari arti
apakah ini fitrah
ataukah hiasan nafsu
didalam sepi ia selalu hadir
didalam sendiri ia selalu menyindir
kadang meronta bersama air mata
seolah tak kuasa menahan duka
biarlah semua mengalir
berikanlah kepada ikhtiar dan sabar
untuk mengejar...
sabarlah menunggu
janji ALLAh kan pasti
hadir tuk datang
menjemput hatimu
sabarlah menanti
usahlah ragu
kekasihkan datang sesuai
dengan iman di hati
bila di dunia ia tiada
moga di syrga ia telah menanti
bila di dunia ia tiada
moga di syurga ia telah menunggu
Ibrahim mengalirkan air mata. Bait-bait lagu itu benar-benar menusuk hatinya.
“Jazakallah Khair Lek. Uhibbukafillah!”
“Wa iyya ka. Uhibbukafillah Aidhan.”
Mereka berpelukan. Kehangatan ukhuwah islamiyyah mengubati luka di hati.
*****
Dua  tahun berlalu dengan pantas. Ibrahim benar-benar membaiki dirinya. Dia  hampir tidak pernah memikirkan langsung soal perempuan. Apatahlagi soal  nikah. Dia sentiasa menyibukkan diri dengan urusan pelajaran dan  dakwahnya. Sehingga dia berjaya meraih Dean’s List dua semester  berturut-turut. Ibu dan ayahnya amat berbangga dengan prestasinya itu.  Adik-adik halaqohnya pula sudah tahu mencari mad’u sendiri. Hampir semua  binaannya berjaya menjadi da’i yang cemerlang. Dalam hampir setiap  pengisiannya pasti Ibrahim menyelitkan sebuah kata-kata azimat, ‘Campus Life Is All About Dakwah & Study. There’s no time to be wasted!’ Kata-katanya itu dihafal oleh hampir setiap Ikhwah UTP.
“Im, kamu dah grad pun. Bolehlah kamu menikah tak lama lagi.” Ibunya tiba-tiba bersuara.
Ibrahim  jadi teringat janji ibu dan ayahnya dua tahun lalu, membenarkannya  nikah setelah tamat pengajian. Tidak semena-mena nama Anis kembali ke  dalam fikirannya. Lantas hatinya beristighfar.
‘Balik-balik  dia. Bukannya betul pun dia akhwat yang cuba khitbah aku dulu. Aku je  yang perasan lebih-lebih. Entah-entah dia tu ikut halaqoh pun tidak.’
Itulah  yang cuba difikirkannya setiap kali teringat akan Anis. Namun, jauh di  sudut hatinya, dia masih berharap kalau akhwat yang mengkhitbahnya  dahulu adalah Anis. Kini dia berpeluang untuk mengetahui.
“Aik, senyum-senyum pulak. Teringat dekat siapa tu?”
“Tak adalah ibu. Teringat kat ibu la.”
‘Erk, apa aku jawab ni? Aiseh…”
“Dah-dah.  Mengarut pula kamu ni. Kawan kamu dulu tu macam mana? Masih setia  menanti?” Nadanya sedikit mengusik. Muka Ibrahim memerah.
“Eh, ibu ni. Entahlah. Dia tunggu lagi ke tak. Dua tahun dah.”
“Tanyalah.”
“Nanti Im tanya.”
Malam itu Ibrahim menghubungi murobbinya. Dia ingin mengkhitbah kembali si akhwat misteri itu.
“Assalamu’alaikum ya akhi.”
“Wa’alaikumussalam Warahmatullah. Apa khabar antum? Dah grad tak dengar cerita.” Kedengaran suara murobbinya di hujung talian.
“Baik-baik je. Sibuk sikit kat rumah ni. Afwan akh, ana ada benda nak mintak tolong antum.”
“Apa dia?”
“Alhamdulillah, parent ana dah izinkan ana untuk bernikah.”
“Alhamdulillah.”
“Jadi ana nak kembali mengkhitbah Ukhti Anis yang mengkhitbah ana dulu.”
“Hah? Macam mana antum tahu nama akhwat tu Anis?”
Barulah  Ibrahim tersedar dia sudah tersasul menyebut nama Anis sebagai akhwat  tersebut. Terkejut bercampur gembira berbaur di hatinya. Berbunga-bunga  umpama musim semi. 
‘Akhwat tu memang Anis! Subhanallah, percaturanMu begitu indah Ya-Allah..’
“Akh, apasal diam? Mana antum kenal akhwat tu?”
“Takdelah akh. Ana tersasul je. Anis tu nama Ex ana dulu. Hahaha..”
Ibrahim dan murobbinya saling tertawa. Yang tertawa bahagia pastilah Ibrahim.
“Boleh sama pulak nama diorang ye? Tapi akh, afwan.” 
“Kenapa akh?”
“Akhwat tu dah setuju untuk bernikah dengan pilihan keluarganya.”
Jantung  Ibrahim berdegup kencang. Telefon bimbit yang dipegangnya hampir  terlepas dari genggaman. Dia tidak percaya dengan apa yang didengarinya.  Atau sebetulnya, tidak mahu mempercayai. Harapannya  sebentar tadi  hancur berkecai seperti kaca yang dihempas ke lantai. Dia terdiam  seketika.
“Akh? Antum ada tak tu?”
“Ada. Afwan. Gangguan sikit tadi. Em, takpelah kalau macam tu akh.”
“Aik,  kenapa nada macam frust je nih. Jangan sedih akh. Akhwat ada  berlori-lori lagi untuk dikhitbah tu.. Kalau nak ana carikan akhwat yang  available, insya-Allah ada.” Mereka tertawa seketika.
“Em, ok je tu. Cubalah carikan.”
“Insya-Allah. Nanti ada berita ana beritahu antum.”
“Jazakallah Khair. Assalamu’alaikum.”
“Wa iyya ka. Wa’alaikumussalam.”
‘Ya-Allah,  berat sungguh ujianmu ini Ya-Allah. Aku hanya manusia yang lemah. Aku  masih mendamba cinta makhlukMu. Aku masih tidak mampu menerima yang aku  memang ditakdirkan untuk tidak dijodohkan dengan Anis. Ampunkan aku  Ya-Allah. Aku mohon, redhakanlah hatiku untuk menghadapi semua ini.’
Tsunami  yang melanda kali ini dirasakan meranapkan seluruh kekuatannya. Bahkan  semangatnya. Dia mengakui kelemahannya. Airmatanya telah banyak yang  tumpah. Dia tidak mampu menahannya. Hatinya cuba dipujuk dengan tilawah  Al-Quran dan solat malam. Ibrahim pasrah. 
Akhirnya setelah mengumpul kekuatan, Ibrahim menerangkan kepada Puan Halimah segalanya. 
“Sabarlah Im. Jodoh untuk kamu pasti ada. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik kan?”
“Em..” Ibrahim hanya menjawab lemah.
“Janganlah buat muka monyok macam tu. Hilang handsome anak ibu ni. Im, ibu ada berita buat kamu, nak dengar?”
“Hm..?” Nadanya masih lemah.
“Kawan  ibu, makcik Dibah tu nak kahwinkan anak dia. Ibu dah pernah jumpa anak  dia Im. Cantik, sopan, solehah pulak tu. Pakai tudung labuh lagi.  Keluarga pun baik-baik.”
“Jadi?” Ibrahim buat-buat bertanya.
“Sudah gaharu cendana pula. Sudah tahu lagi mau tanya.” Puan Halimah sedikit bercanda.
“Apa-apalah ibu. Im ikut je. Tapi tak tentu lagi ye ibu. Im ingat nak cari sendiri.”
“Kamu tengok dulu orangnya. Tentu kamu setuju punya.”
Lalu  pertemuan pun diaturkan. Ibrahim hanya mengikut. Namun hatinya masih  belum pulih sepenuhnya. Dia masih sukar untuk menerima hakikat. Dia  tidak mampu menceritakannya kepada sesiapa pun. Tidak juga Malik.  Biarlah dia  menyimpannya sendiri. Kisah Anis biarlah terkubur di lubuk  hatinya. Tidak perlu disingkap kembali.
*****
“Tak sangka kita ni bakal berbesan ye Limah.” ujar Puan Aidbah.
“Insya-Allah. Tapi semuanya bergantung kepada Im. Dia yang menentukannya.” Puan Halimah kembali membalas.
“Alah, Im setuju punya. Dari pagi tadi senyum aje.” Sampuk Encik Badiuzzaman.
“Harapnya mudahlah perjalanannya ye.” Encik Khairul pula bersuara.
Ibrahim  tersenyum mendengarnya. Dia telah kembali menguasai dirinya. Dibuang  nama Anis jauh-jauh dari relung hatinya. Bagi menghibur hatinya, dia  sering menganggap bahawa takdir Allah menentukan Anis akan bernikah  dengan pilihan keluarga adalah kemerdekaan buat dirinya. Merdeka  daripada bayang-bayang Anis. Merdeka daripada gelisah dan kecewa  mengharapkan seseorang yang tidak pernah menjanjikan apa-apa buat  dirinya.
Kini  dia berada di rumah yang bakal menjadi mertuanya. Dia pasrah untuk  menerima siapapun yang bakal menjadi isterinya. Kata-kata ibunya sedikit  sebanyak menenangkan hatinya.
“Dia ni solehah, cantik, keluarga baik-baik.”
‘Kalau dah solehah cantik, keluarga pun baik, apa lagi yang perlu dikesalkan? Ini bidadari dunia buatku!’ Hatinya bersuara. Im kembali mengukir senyum.
“Dibah,  mana anak kamu tu? Im ni dah tak sabar  nak tengok bakal pasangan  hidupnya ni.” Kata Puan Halimah sambil mencuit bahu Ibrahim.
Ibrahim hanya tersenyum melayan telatah ibunya.
“Ada  kat dalam tu ha. Tengah bancuh air. Sekejap lagi dia keluarlah. Nur,  cepat sikit. Tetamu dah haus ni!” Puan Adibah melaung ke dapur.
‘Nama dia Nur ke?’ Ibrahim berfikir sendirian. Seperti apakah rupanya Nur itu? Dia jadi malu akan dirinya sendiri.
Lalu kedengaran bunyi tapak kaki mendekati ruang tamu. Bunyi cawan dan piring bergetaran di atas dulang kedengaran.
“Lah, kenapa menggeletar kamu ni? Malu ke?” Puan Adibah mengusik anaknya.
“Tak adalah mak. Biasa je.” Jawabnya selamba. Dia meletakkan dulang ke atas meja.
Ibrahim  menundukkan muka. Dia amat malu untuk memandang ke arah suara itu.  Matanya ditujukan ke arah meja di hadapannya. Anak matanya mencuri-curi  pandang tangan yang memegang dulang.
“Pakcik, makcik, jemputlah minum. Eh, Im!?”
Ibrahim terkejut kerana namanya diseru dengan agak kuat. Dia mengangkat mukanya.
Pandangan mereka menyatu. Persis perjumpaan pertama kalinya tiga tahun yang lalu. 
“Eh, Anis? Apa Anis buat kat sini?”
“Ini rumah Anislah. Im pulak?”
“Im datang sebab..” Im tidak mampu meneruskan kata-kata.
Mereka  yang lain di ruangan tersebut terpinga-pinga. Drama yang baru sahaja  dilakonkan di hadapan mereka menimbulkan tanda tanya. 
Muhammad Ibrahim bin Badiuzzaman dan Nur Anis Emilia binti Kahirul masing-masing  tersenyum sendiri. Semua mata tertuju ke arah mereka. Mereka hanya diam  dan membiarkan, sementara mata tertunduk dan bibir terus mengukir  senyum. Hati mereka bertabih dan bertahmid memuji kebesaran Allah yang  menemukan mereka dalam keadaan yang amat tidak disangka-sangkakan itu.
“Nampaknya kita dah terlepas beberapa scene ni.” Encik Badiuzzaman bersuara.
“Cerita dah lama mula nampaknya.” Puan Adibah pula mencelah.
Ibrahim dan Anis terus tersenyum.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
boleh tahan gk...
nasyid dia layan,,,
cerpen ni blom sempat baca lg...
cerpen ni blom sempat baca lg...
hehehe
http://www.esnips.com/doc/0b3cb006-af1a-42d0-ad72-cf36b44ec35d/Menunggu-Di-Sayup-Rindu
k..
dats ol,,
salamss..
k..
dats ol,,
salamss..
 
 
10 comments:
nice.
ibrahim yg ni bila lagi..
tgu org y lebih layak utk jalan dlu..
pastu, leh suh dia tolong rekemenkn sorg utk aku..hehe
dah mcm karangan sndri jer :.
apepn, bgs cerpen ni.
paNjaNg nY!!!
tP baK kaTa anOnYmOus.. . (niCe)
kaLOw dH jOdOwH xkMaNa.. .
iNsYaALAH.. .
huHu.. .
dh kata kopipes..
mmg pnjg la jdnya..
yups..
mun dn jodoh...sik kemana nk?
huh!..patutla penulis blog ni lain macam je sekarang..
Salam. Ibrahim bila pula? Jangan lupa jemput ana sekali ye...
Nak gak kenal 'Anis'nya...
Salam ziarah..
cerpen yg menarik..
dh pnh baca b4 this..
neway, syukran 4 sharing
@sang murobbi a.k.a abu ridho :
adeh segan murobbi baca blog ana ..
tp,apa y lain nye akh?..menten je ni..rizi tu y smgt suggest...baca je =)
@akhtar syaheed :
w'salam..insyaALLAH ada jodoh nnt ana jemput..
tp lmbt lg kot..sbb "anis"nya lom ada lg =)
@mustrz:
salam terima kasih..
dh baca,jgn baca lg..buang masa je nnt..juz nk flash2 point2 penting bole la spt dalil2 n sifat2 watak y ada dll...
Post a Comment