Pages

Wednesday, June 25, 2008

menyelesaikan masalah dgn akhlaq y mulia~

aku slalu tertarik dgn tajuk2 n cara penyampaian oleh ustaz Abdullah yasin ni..
dgn gaya bahasa y ala2 keendonan[i like bhs endon..hehe] n cara dia mengolah segala persoalan n jawapan dgn cara y paling mudah n sng difahami dan disertakan juga dalil2 kukuh y berlandaskan Al-Quran wa hadeeth serta seerah Rasulullah n para sahabat..


Oleh Ust Dr Abdullah Yasin

(سورة آل عمران)

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Terjemahan:

Maka disebabkan dari Allah lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampunan bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.”

(Ali ‘Imran 3:159)

Mukaddimah :

Allah SWT berfirman: Siapa yang bertaqwa kepada Allah, niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar (way out). (Ath-Thalaq :2). Berdasarkan ayat ini jelaslah bahwa segala masalah dapat diselesaikan dengan TAQWA.

TAQWA meliputi segala aspek kehidupan, moral ataupun material. Jalan taqwa itu terbahagi dua, ada yang bersifat konkrit, dan ada yang bersifat teknikal (adab).

Yang bersifat konkrit disebut: Al-Ahkaamut Taklifiyah seperti: Halal, Haram, Wajib, Sunat, Makruh dan Mubah. Dalam dunia hukum dikenal dengan Hukum Positif. Adapun hukum yang bersifat teknikal, dikenal dengan istilah: Adab atau Akhlak atau Al-Ahkaamul Akhlaqiyah.

Contohnya: Makan. Hukumnya mubah/halal. Teknikalnya dengan tangan kanan, didahului dengan basmalah, sesuap demi sesuap dan jangan terlalu kenyang tetapi sebaiknya hendaknya perut dibagi tiga: makanan, minuman dan udara, dan diakhiri dengan hamdalah.

Contoh lain: Tidak berteguran. Hukumnya haram. Teknik penyelesaiannya: Kalau terpaksa berbuat demikian tidak boleh lebih dari 3 hari. Dan menyapanya hendaklah dengan salam, dan yang lebih dahulu memberi salam dialah yang lebih baik.

Contoh lain: Syiqaq (pisah rumah antara suami isteri). Hukumnya haram. Teknikal penyelesaiannya: Damai atau cerai yang didahului dengan mengutus hakam (juru damai yang mengerti hukum agama) dari masing-masing pihak.

Dari contoh-contoh di atas jelaslah bahwa dengan adanya pembahagian dua jalan taqwa itu iaitu: Hukum Taklify dan Hukum Akhlaqy maka hukum-hukum taklifiyah itu dapat berakhir dengan baik dan menyenangkan semua pihak. Penyelesaian masalah seperti inilah yang barangkali dimaksudkan oleh pepatah orang tua-tua:

Seperti menarik rambut dari tepung. Rambutnya tidak putus dan tepungnya tidak tumpah”.

Tafsiran Ayat :

Maka disebabkan dari Allah lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka”.

Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasalam) dan para sahabat telah mendapat anugerah sifat lemah-lembut dari Allah SWT. Itulah sebabnya mereka dapat menghadapi karenah atau sikap kasar orang-orang yang ingkar di zamannya dengan hati yang tabah dan akhirnya orang yang menentang kebenaran menjadi tunduk dan patuh kepada ajaran beliau. Ini adalah berkat kelembutan beliau, bukan kerana kekerasan atau sikap yang kasar.

Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu”.

Sekiranya kamu menghadapi atau bergaul dengan mereka yang ingkar itu secara kasar, pastilah mereka akan bertempiar dan menjauhkan diri mereka dari kamu. Akhirnya hasrat sucimu itu yang ingin mengajak mereka ke jalan yang lurus (hidayah) akan sia-sia dan terbengkalai kerana sikap kamu sendiri.

Tujuan para Rasul diutus oleh Allah ialah agar mereka menyampaikan syare’at Allah kepada umat manusia. Tujuan itu tidak mungkin tercapai kecuali jika hati manusia cenderung kepada mereka dan jiwa merasa tenteram bersama mereka.

Dan maksud ini akan tercapai hanya jika para Rasul bersikap penyayang, berbudi mulia, suka memaafkan kesalahan mereka yang melakukan dosa.

Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampunan bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu”.

Nabi (sallallahu alaihi wasalam) disuruh oleh Allah agar memaafkan kesalahan orang-orang yang bersikap kasar terhadapnya. Bukan membalas kekasaran dengan kekasaran. Malahan Nabi (sallallahu alaihi wasalam) disuruh agar memohon ampunan kepada Allah untuk mereka. Bukan berdendam. Bahkan Nabi (sallallahu alaihi wasalam) disuruh supaya berbincang dan bermusyawarah dengan mereka kerana melalui musyawarah dan perbincangan banyak masalah boleh diselesaikan dengan sempurna.

Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.

Jika kamu telah membulatkan azam (tekad) untuk melakukan sesuatu sesudah bermusyawarah dan bertukar-tukar pandangan, maka bertawakallah (berserah dirilah) kepada Allah. Dan yang dimaksudkan dengan tawakkal di sini tentu saja setelah membuat persiapan dan pertimbangan sabab musabbab. Ini sebagaimana sabda Nabi (sallallahu alaihi wasalam) kepada seorang lelaki yang ingin meninggalkan untanya. Dia berkata: Ya Rasulullah, adakah aku tambatkan dia kemudian aku bertawakkal, ataukah aku biarkan dia lalu aku bertawakkal? Jawab Nabi (sallallahu alaihi wasalam):

Tambatkan dia kemudian bertawakallah kamu

[HR Ibnu Hibban – Sahih]

Pengajaran Ayat :

Berdakwah dengan pengertian “Watawaashau Bil Haq” iaitu berpesan-pesan dengan kebenaran, apakah dalam bentuk amar ma’ruf atau nahi munkar, hukumnya wajib dilakukan oleh setiap insan jika mereka benar-benar ingin terlepas dari kerugian. Lihat kandungan surah Al-‘Ashr, Ini Hukum Taklify.

Namun demikian, jangan lupa Hukum Adabnya (teknikalnya). Berdakwah mestilah dengan lemah lembut dan hikmah bijaksana. Hikmah dalam dakwah tidak ubahnya seperti bermain layang-layang. Untuk mendapatkan hasil yang memuaskan kita mestilah pandai mempertimbangkan kondisi angin, bila tali sepatutnya ditarik dan bila sepatutnya diulurkan.

Dan ditinjau dari sudut lain pula kita juga mesti mengenalpasti jenis kemungkaran yang akan ditegur. Darjat kemungkaran tidak sama. Ada dosa besar dan ada dosa kecil. Demikian juga dengan bid’ah. Walaupun semua bid’ah adalah sesat, namun darjat kesesatannya tidak sama. Ada Bid’ah Hakikiyah dan ada Bid’ah Idhaafiyah. Ada bid’ah yang membawa kufur, dan ada pula bid’ah yang tidak membawa kufur.

Tugas pendakwah sama dengan tugas doktor. Untuk mendapat hasil rawatan yang memuaskan, doktor mesti pastikan terlebih dahulu jenis penyakit dan kadar penyakit (serius atau ringan) kemudian barulah tentukan ubatnya yang sesuai. Doktor juga akan mempertimbangkan kadar akibat sampingan (side effect) dari ubat yang diberikannya kepada pesakit berkenaan.

Doktor tidak akan lekas panik jika pesakit memarahinya, kerana ia tahu pesakit memang tidak sihat. Doktor tidak akan berkecil hati dengan telatah pesakit yang kurang menyenangkan kerana ia memang ikhlas ingin membantu pesakit.

Kesimpulan :

  • Sifat lemah-lembut adalah anugerah pemberian Allah kepada siapa yang Dia kehendaki. Bersyukurlah jika anda telah mendapatnya. Keras dan kasar hanya akan menggagalkan dakwah.
  • Tahlil, Qunut Subuh, “Ushally”, Kenduri Arwah bukanlah bid’ah yang membawa kepada kekafiran. Oleh itu pandai-pandailah anda berdakwah. Yang penting jangan korbankan silaturrahim hanya disebabkan perkara kecil itu.
  • Ingat selalu: Tugas pendakwah sama dengan tugas para Rasul iaitu Menyampaikan Kebenaran, bukan memaksa. Jika mereka menerima Alhamdulillah. Jika tidak jangan segera memulaukan mereka kerana mereka masih memerlukan bantuan. Lebih-lebih lagi jika mereka kaum kerabat kita sendiri.
  • Berusahalah terus jangan lekas putus asa. Air yang lembut akan dapat melubangi batu yang keras jika titisannya tidak berhenti. Dan berdoalah kepada Allah:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِي وَلِمَنْ أَحَبَّنِى . اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِي وَلِمَنْ أَسَآءَ إِلَيَّ

Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku dan dosa-dosa orang yang mengasihiku. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku dan dosa-dosa orang yang berbuat jahat kepadaku.

2 comments:

Anonymous said...

nice blog..
teruskan berdakwah..

Anonymous said...

Salam perjuangan...

Erm..pernah dengar seni berdakwah Rasulullah s.a.w???? Ia mungkin berguna untuk enta sebagai panduan....